SECTION

Wednesday, 20 February 2013

ADAT MELAYU



Sumber/credit : To my  Pensyarah Malay department :)

ADAT MELAYU

   
Adat berasal dari perkataan bahasa Arab bererti : 
  1. Peraturan yang lazim dipakai sejak dahulukala, hukum lembaga, seperti Adat Jelebu dan Adat Rembau.
  2. Cara yang sudah menjadi kebiasaan, sifat kebiasaan, seperti Adat Air Cair, Adat Api Panas.  
 - Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan sehari-hari sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Dan kebiasaan ini telah menjadi amalan turun-temurun, zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek moyang. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita ini. 

- Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu amalan-amalan tertentu di dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama, mana-mana amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah ditinggalkan serta tidak diamalkan lagi. Amalan ini juga dipanggil sebagai adat.

- Pepatah Melayu “Biar mati anak, jangan mati adat”, merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat Melayu.

- Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada pelaksanaan sesuatu adat itu.  Kebanyakan adat adalah juga merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-harian, ia juga dipanggil ritual.

- Berikut adalah beberapa rentetan adat resam Melayu yang pernah diamalkan dan ada yang masih diamalkan hingga ke hari ini: 
  • Melenggang Perut
  • Menyambut Kelahiran
  • Bercukur Jambul
  • Bersunat
  • Bertindik
  • Berkhatam Al-Quran
  • Menilik atau merisik 
  • Meminang dan bertunang
  • Menghantar Belanja dan Akad Nikah
  • Berinai di Pelamin
  • Bersanding
  • Sambut-menyambut (Bertandang)
  • Bersalin
  • Berpantang Empat Puluh Empat Hari
  • Mandi Selepas pantang
  • Kematian

Melenggang Perut

  • Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. 
  • Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan.
  •  Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.



Menyambut Kelahiran

  • Kelahiran bayi akan disambut dalam suasana yang penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seisi keluarga. Selepas dibersihkan oleh bidan, sekiranya bayi tersebut lelaki, si bapa atau datuknya akan mengazankan di telinga kanannya, manakala bagi anak perempuan akan diiqamatkan di telinga kirinya. Ini adalah ritual yang pertama sekali dilakukan ketika menyambut kehadiran satu lagi insan di dalam dunia ini yang dilahirkan dalam adat Melayu. 
  • Kemudian, tali pusat akan dipotong bagi memisahkannya dari alam yang gelap di perut ibu ke alam baru yang menantinya. Menurut sesetengah kepercayaan, bayi dikatakan menangis ketika dilahirkan kerana terkejut melihat keadaan alam yang penuh dosa. Ada pula yang mengatakan bayi tersebut ditakut-takutkan oleh hantu syaitan, dan tidak kurang juga ada yang mengatakan bayi tersebut menangis kerana takut dengan beban yang bakal dipikulnya dalam kehidupan kelak. 
  • Setelah selesai dimandikan, si bapa akan berperanan menanam uri bayi seperti upacara pengkebumian jenazah. Ini kerana uri dianggap sebagai saudara kembar dan teman bayi sewaktu di dalam perut ibu. Ia perlu ditanam dengan sempurna supaya tidak datang mengganggu bayi. 
  • Di antara pantang larang menanam uri ialah uri tidak boleh ditanam di luar rumah kerana dipercayai anak tersebut apabila dewasa akan sukar dikawal perlakuannya. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan oleh pihak tertentu yang ingin menjalankan upacara perbomohan atau pemujaan. 
  • Kesemua adat dan upacara menerima kehadiran orang baru ini termasuk dalam salah satu jenis ritual iaitu dinamakan Rites of Initiation.


Bercukur Jambul

  • Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
  • Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan. 
  • Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.
Alatan Potong Jambul



Upacara Potong Jambul


Bersunat

  • Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan.
  • Adat ini akan dijalankan oleh bidan. 
  • Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. 
  • Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. 
  • Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan. 


Kanak-kanak mandi untuk berkhatan


Bertindik

  • Adat resam bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun. 
  • Adat bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila meningkat dewasa kelak.            

Berkhatam Al-Quran

  • Dalam masyarakat Melayu, ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam kehidupan seharian. Anak-anak telah dididik dan diasuh untuk membaca Al-Quran semenjak kecil lagi. 
  • Bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, mereka menghantar anak mereka untuk mempelajari Al-Quran di pondok-pondok agama atau di madrasah. 
  • Di sana , terdapat seorang guru agama yang akan mengajar anak-anak mereka membaca Al-Quran sehingga tamat. Bagi zaman kini, konsep yang sama masih digunakan, yang berbeza cuma cara ia dijalankan.
  • Tidak kira bagaimanapun caranya, yang pasti, setelah tamat menghabiskan pengajian membaca Al-Quran atau dalam bahasa Arab dipanggil Khatam Al-Quran, satu kenduri kesyukuran akan dijalankan oleh ibu bapa dan kenduri ini akan dihadiri oleh semua ahli keluarga dan penduduk setempat. 

Menilik atau merisik

  • Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. 
  • Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. 
  • Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.
  • Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.

Meminang dan bertunang

  • Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan.
  • Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. 
  • Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula.
  • Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.
  • Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan.
  •  Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.
  • Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.

Menghantar Belanja dan Akad Nikah

  • Mengikut adat resam, menghantar belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad nikah, tetapi pada zaman sekarang, menghantar belanja selalu dijalankan bersama dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan.
  • Di antara barang-barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut : 
- Wang mas kahwin dan belanja
 Sebentuk cincin permata berbatu intan atau berlian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
- 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung. 
- Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam. 
-  Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung. 
-  Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap. 
- Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atau lilin. 
  • Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. 
  • Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.



Berinai di Pelamin

  • Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat.
  • Berinai curi � diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat sahaja.
  • Berinai kecil � diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
  • Berinai besar � diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan. 

Bersanding

  • Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari.

Sambut-menyambut (Bertandang)

  • Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. 
  • Majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah pengantin perempuan. 
  • Ada juga yang menjalankan majlis bertandang ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung tanpa mengadakan majlis persandingan.

Bersalin

BENGKUNG/BARUT
  • Setelah kandungan genap bilangan bulan dan harinya iaitu sembilan bulan sembilan hari pada perkiraan orang tua-tua zaman dahulu, dan saat untuk melahirkan pun sudah hampir maka segala kelengkapan seperti beras, kelapa dan damar, akan disediakan sama seperti ketika upacara melenggang perut dijalankan. 
  • Setelah selesai bersalin, beras, damar dan kelapa semuanya akan diberikan kepada tok bidan di samping wang sebanyak $5.00 jika anak sulung, $3.25 jika anak yang kedua, manakala anak yang ketiga bayarannya sama seperti anak sulung dan begitulah seterusnya. 

Berpantang Empat Puluh Empat Hari

  • Selama empat puluh empat hari, dikira dari hari pertama bersalin, adalah diadatkan kepada ibu tersebut untung menjalani pantang. Ini bererti ibu tersebut ditegah daripada makan sebarangan mengikut kehendaknya atau membuat apa-apa jua kerja rumahtangga, walaupun bangun berjalan meninggalkan tempat tidurnya.
  • Namun begitu, bagi masyarakat sekarang, bersalin di hospital adalah lebih selamat dan mudah. Walaubagaimanapun, pantang larang selepas bersalin akan tetap diamalkan dalam masyarakat Melayu untuk menjamin kesihatan ibu tersebut. 

Mandi Selepas Pantang

  • Selepas tamat tempoh berpantang, iaitu selepas empat puluh empat hari, maka pada hari yang keempat puluh lima akan diadakan kenduri kecil di antara ahli keluarga. Ibu tersebut akan dimandikan dengan air sintok limau serta dilangirkan sebagai syarat melepaskan pantang.

Kematian


Keranda dan Mayat Dalam Liang Lahat
  • Dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan mayat saudara sesama Islam adalah fardu kifayah.
  • Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada tok imam, saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu. 
  • Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. 
  • Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar.
  • Dari zaman-berzaman hingga ke sekarang ini telah dijadikan adat resam Melayu mengadakan kenduri arwah, pada hari-hari ketiga, ketujuh, keempat belas, keempat puluh dan keseratus kemudian selepas hari mati itu dan kadang kala setiap tahun mengadakan kenduri arwah sebagai tanda memperingati si mati sambil mensedekahkan doa-doa yang merupakan rezeki atau makanan mereka di hari akhirat. 
  • Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia.
* nota seterusnya ialah mengenai BAHASA DAN BUDAYA.

No comments:

Post a Comment