SECTION

Saturday 25 June 2016

PANTANG LARANG KITANI - BRUNEI

Pantang larang merupakan kepercayaan masyarakat Melayu berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Menurut Bakar Lakim (1992), pantang larang itu bersifat universal tetapi berbeza dari segi kepercayaan dan adat resam masing-masing sesuatu bangsa (p.56). Di sebalik pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak turun temurun itu tersembunyinya mesej yang perlu dihayati. Pantang larang selalunya ditujukan kepada kanak-kanak dengan niat untuk mendidik mereka agar tidak berbuat sesuatu yang tidak baik. Kesimpulannya pantang larang itu merupakan suatu yang dilarang untuk melakukannya. Jika pantang larang itu tidak dipercayai maka akan ditimpa bala bencana atau malapetaka. Didalam buku ‘Pantang Larang Kitani” karya Hadijah Hasan kebanyakkan pantang larang ditujukan untuk kanak-kanak dan remaja.

Menurut Ismail Hamid (1988), Pantang larang itu digunakan sebagai cara mengelakkan manusia daripada mendapat sakit atau kecelakaan (p.41). Contohnya, ‘Duduk di atas bantal kelak ketulahan’ membawa maksud seseorang yang duduk di atas bantal yang digunakan untuk berbaring atau tidur akan mendapat ‘tulah’ atau bencana. Rasionalnya pantang larang ini ditujukan untuk kanak-kanak agar tidak duduk diatas bantal kerana pada dasarnya bantal itu adalah alas kepala untuk baring atau tidur. Selain itu juga bantal adalah sesuatu yang berharga kerana ia adalah pelindung kepala ketika baring atau tidur. Nilai-nilai murni yang terdapat dalam pantang larang ini ialah untuk mengajar kanak-kanak supaya menghormati bantal tempat berbaring kepala dan supaya berperangai elok. Ditambah lagi untuk mendidik kanak-kanak supaya menjaga kebersihan, kerana bantal itu adalah alas untuk kepala ketika baring atau tidur. Pengajaran dari pantang larang ini ialah supaya kanak-kanak tidak duduk di atas bantal. Contohnya lagi ‘berselimut seluruh badan kelak roh tidak mulih ke jasad’, bermaksud kematian kerana jika roh tidak kembali ke badan, manusia akan mati. Walaupun pantang larang berbunyi sedemikian tetapi sebenarnya terdapat makna tersirat didalam pantang larang tersebut. Makna tersiratnya ialah orang tua-tua dahulu melarang kanak-kanak tidur berselimut menutupi seluruh badan kerana ditakuti lemas. Contoh lain seperti ‘ Menjangkau kepala orang tua-tua kelak ketulahan’, ‘ Melangkahi kulit telur kelak berbisul’, ‘ Mencuri telur danbuah-buahan kelak berjaguk’ dan banyak lagi. Jelas disini pantang larang yang disebut jika tidak dipercayai akan mendapat bencana. Oleh itu kanak-kanak akan mendengar dan mematuhi pantang larang tersebut.
Pantang larang juga berrfungsi untuk mendidik supaya bersikap bersopan santun terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja. Sopan santun merupakan unsur penting dalam kehidupan bersosialisasi sehari – hari setiap orang, karena dengan menunjukkan sikap sopan santunlah, seseorang dapat dihargai dan disenangi. Dalam hal ini sopan santun dapat memberikan banyak manfaat atau pengaruh yang baik terhadap diri sendiri maupun orang lain. Contoh ‘ Menjulurkan lidah kelak putus lidah’ bermaksud perbuatan menjulurkan lidah kepada orang lain adalah perbuatan yang tidak elok dan dianggap keji. Rationalnya menjulurkan lidah adalah perbuatan yang tidak elok dan sebagai orang yang berugama islam, perbuatan menjulurkan lidah itu adalah perbuatan yang sangat kurang sopan dan tidak menghormati orang. Sebagai kanak-kanak haruslah menjaga diri dan sentiasa bersifat sopan terhadap orang tua. Janganlah menjulurkan lidah kepada orang tua-tua kerana perbuatan itu tidak sopan. Aspek yang terdapat di dalam pantang larang ini ialah aspek masyarakat. Sejak dari kecil, kanak-kanak diajar untuk tidak menjulurkan lidah terhadap orang tua-tua kerana perbuatan itu tidak sopan, oleh itu pantang larang ini dicipta untuk mengajar kanak-kanak bahawa jika mereka menjulurkan lidah mereka terhadap orang tua-tua maka mereka akan mendapat balasannya. Pengajaran yang terdapat di dalam pantang larang ini ialah kanak-kanak haruslah mempunyai sifat budi pekerti yang mulia dan bersopan santun terutama ketika berhadapan dengan orang lain apatah lagi dengan orang yang lebih tua daripada mereka.
Pada zaman masyarakat Melayu dahulu, mereka masih belum mengenal agama, mereka amat mempercayai hantu, jembalang, puaka, semangat dan sebagainya. Jesteru dari kepercayaan inilah wujudnya pantang larang yang meggunakan ‘hantu’ untuk menakutkan dan mendidik kanak-kanak dahulu. Contohnya ‘Bermain tapuk-tapukan pada waktu malam kelak disembunyikann hantu kalindahau’ membawa maksud untuk melarang kanak-kanak dahulu bermain sembunyi pada waktu malam kerana dikhuatiri mereka tidak dapat mencari jalan keluar daripada tempat penyembunyian mereka. Dengan mengatakan akan ditapuk oleh hantu kalindahau, kanak-kanak tidak berani untuk bermain sembunyi pada waktu malam. Selain itu, malam ialah waktu yang sesuai untuk berehat bukannya bermain. Dengan teguran ini, ibu-bapa dahulu mengajar kanak-kanak supaya menyesuaikan masa untuk bermain dan masa untuk berehat. Contoh lain seperti ‘bermain simban pada waktu malam kelak diikut oleh hantu salibaya’, ‘bersiul pada waktu malam boleh memanggil hantu’ dan sebagainya.
Disamping itu, pengaruh Islam juga terdapat didalam pantang larang. Contohnya ‘keluar pada waktu maghrib kelak mendapat demam’. Sebenarnya dari segi Islam waktu Maghrib itu mestilah dihormati dan sembahyang Magrib mestilah ditunaikan. Rasional pantang larang ini ialah orang tua-tua zaman dahulu amatlah menitik beratkan kepada kanak-kanak dan remaja agar mereka mendahului solat sebelum mereka keluar rumah, selain itu juga orang tua-tua zaman dahulu tidak menyukai kanak-kanak dan remaja berkeliaran ketika hari hendak malam. Ini kerana perkara itu dianggap tidak manis. Munurut kepercayaan orang tua-tua zaman dahulu, ketika waktu Maghrib iblis berkeliaran dan mengacau manusia dan boleh menyebabkan demam. Disebalik pantang larang ini, terdapat pengajaran bahawa kita sepatutnya menghormati waktu Maghrib dan bukannya keluar merayau-rayau tanpa tujuan yang tidak tentu. Sama juga dengan pantang larang ‘ Bersiul pada waktu Maghrib kelak mendapat sial selama 40 hari dijauhkan rezeki’ yang menegur kanak-kanak supaya menghormati waktu Maghrib.

Didalam pantang larang yang terdapat dalam buku Pantang Larang Kitani juga selalu mengunakan ayat ‘kelak tidak berezeki’. Misalnya ‘memijak nasi kelak tidak berezeki’ membawa maksud orang tua-tua melarang kanak-kanak memijak dan menjurit nasi supaya kanak-kanak makan dengan tertib dan cermat kerana nasi itu merupakan kepala rezeki ataupun makanan asas harian, oleh itu, memijak nasi adalah sesuatu perbuatan yang tidak baik kerana nasi haruslah diberikan keutamaan dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Rational pantang larang ini ialah memijak nasi adalah perbuatan yang tidak elok dan kurang manis dipandang orang kerana nasi merupakan makanan utama bagi orang melayu, oleh itu pantang larang ini dicipta untuk mengajar kanak-kanak untuk menghormati rezeki yang diperolehi dan menghargai rezeki tersebut dengan sebaik-baiknya. Nilai murni yang terdapat di dalam pantang larang ini ialah sentiasa bersyukur. Kanak-kanak haruslah bersyukur dengan rezeki yang diperolehi seperti nasi kerana ialanya merupakan rezeki dari Allah. Didalam al Quran ada dinyatakan bahawa sesiapa yang tidak bersyukur maka Allah akan mendatangkan azab yang pedih kepadanya, sebaliknya sesiapa yang bersyukur Allah telah menjanjikan ni’mat kepadanya. Ayatnya Bermaksud:

“Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”

Aspek yang terdapat di dalam pantang larang ini ialah aspek budaya, dari kecil sudah kita di ingati oleh nenek moyang atau ibu bapa agar tidak bersifat kurang sopan terhadap rezeki yang diberikan kepada kita dan sentiasa menghargai apa yang kita perolehi, pengetahuan ini sudah di berikan kepada kanak-kanak sejak di awal usia mereka lagi agar tidak melakukan perbuatan yang tidak baik terhadap makanan ataupun rezeki kita. Pengajaran yang dapat diambil dari pantang larang ini ialah perbuatan memijak nasi di atas lantai ini merupakan sesuatu perkara yang kurang sopan. Secara tidak langsung teguran ini mengajar kanak-kanak supaya bersopan santun dan bertatatertib serta tahu bagaimana memanfaatkan rezeki. Contoh lain seperti ‘berabai rambut semasa memasak menjauhkan rezeki’, ‘berat murut terhadap tetamu kelak susah mendapat rezeki’ dan banyak lagi.

Kesimpulannya, pantang larang orang tua-tua bertujuan untuk mendidik masyarakat, khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan di dalam kehidupan. Tidak di nafikan di zaman moden ini amalan pantang larang itu sudah semakin berkurangan fungsinya namun demikian terdapat nilai-nilai dan tujuan-tujuan positip wujudnya pantang larang tersebut yang perlu kita hayati. Pantang larang itu hendaklah sesuai mengikut situasi dan tidak melanggar syarak sebagai masyarakat yang beragama Islam.   



RUJUKAN

Bakar Lakim. (1993). Pantang Larang Masyarakat Melayu Kampong Air. Negara Brunei Darussalam.

Hadijah Hasan. (2001). Pantang Larang Kitani. Bnadar Seri Begawan. Dewan Bahasa dan Sastera.

Ismail Hamid. (1988). Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.


REZEKI MELIMPAH RUAH. (n.d). Di ambil pada 24/3/2015 dari https://rahsiarezeki.wordpress.com/rahsia-rezeki-melimpah-ruah/

PENULIS: Cocoberry8, F, W untuk tugasan kuliah.

1 comment: